Skip this ad x
Siti Nur Mas Erah Amran

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan kelulusan pengecualian hilang kelayakan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dibuat mengikut Seksyen 9A (4) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim berkata, Rafizi memohon pengecualian untuk memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia dengan mengemukakan surat permohonan pada 9 Julai lalu.

“ROS sudah meluluskan permohonannya menerusi surat bertarikh 20 Julai 2018 dan pengecualian berkenaan merangkumi pemegang jawatan, penasihat dan pekerja pertubuhan berdaftar bagi beliau selaras dengan akta yang ditetapkan.

“Mana-mana individu yang tertakluk kepada mana-mana hilang kelayakan di bawah perenggan (1) (a), (b) atau (c) boleh memohon kepada Pendaftar untuk dikecualikan daripada pemakaian hilang kelayakan itu dan Pendaftar boleh memberinya pengecualian untuk tempoh yang dinyatakan tertakluk kepada batasan, sekatan, terma atau syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada sesiapa yang memohon pengecualian hilang kelayakan memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia.

Katanya, setiap pengecualian adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh mana-mana individu dan diproses mengikut prosedur tetap operasi selaras dengan akta terbabit.

“Setakat 31 Julai lalu, kita sudah meluluskan sebanyak enam permohonan pengecualian kepada beberapa individu.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan pertubuhan untuk membenarkan mana-mana individu yang menerima kelulusan pengecualian untuk bertanding dalam pemilihan parti selaras dengan fasal yang ditetapkan dalam perlembagaan dan peraturan parti terbabit.

“Setiap pertubuhan berdaftar diingatkan supaya menjalankan urusan mengikut peruntukan perlembagaan berdaftarnya serta yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, laporan muka depan sebuah akhbar bahasa Inggeris hari ini mendakwa PKR berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana membenarkan Rafizi bertanding.

Ini kerana undang-undang parti itu tidak membenarkan mana-mana orang yang didapati bersalah oleh mahkamah bertanding pada pemilihan parti.

Menurut laporan itu, Rafizi juga mendakwa beliau telah diberi kebenaran istimewa oleh ROS untuk bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 9:48 PM