KEMPEN kibar Jalur Gemilang Pos Malaysia yang dilepaskan di Ibu Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, Kompleks Dayabumi, semalam.
KEMPEN kibar Jalur Gemilang Pos Malaysia yang dilepaskan di Ibu Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, Kompleks Dayabumi, semalam.
Syanty Octavia Amry

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), semalam melepaskan 120 kenderaan yang mengibar Jalur Gemilang sebagai simbolik majlis pelancaran Sayangi Malaysiaku sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 tahun ini.

Kenderaan seperti motosikal, basikal dan van itu digunakan oleh pekerja Pos Malaysia untuk menghantar surat-surat dan barangan milik orang ramai.

Ia dirasmikan oleh Ketua Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia, Mohd Effendi Muhammad yang turut disaksikan oleh Ketua Unit Setem & Filateli, Diyana Lean Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Pos Mel, Pos Malaysia, Helmi Hashim.

Effendi ketika ditemui berkata, tahun ini, 10,000 Jalur Gemilang diedarkan secara percuma kepada pekerja Pos Malaysia di seluruh negara.

“Program ini antara salah satu langkah memupuk semangat kemerdekaan dikalangan pekerja Pos Malaysia sendiri.

“Ia juga seiring dengan warga Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum untuk mengibarkan bendera Malaysia.

“Selain simbolik pelepasan pekerja Pos Malaysia, kami juga melancarkan setemdan Sampul Surat Hari Pertama, MS dan folder edisi Sayangi Malaysiaku yang boleh didapati di 200 kaunter Pos Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Helmi berkata, buat masa ini, 300,000 Sampul Surat Hari Pertama diedarkan dan pihaknya menyasarkan 500,000 dalam tempoh sebulan bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

“Sepanjang bulan Ogos ini orang ramai yang membeli Sampul Surat Hari Pertama edisi khas ini boleh menggunakannya secara percuma tanpa setem untuk menghantar surat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 11:11 AM