FOTO Hiasan
Audrey Dermawan

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan berwaspada dalam menaikkan caj perundingan perubatan.

Presiden CAP, S M Mohamed Idris berkata, pengguna sudah dibebani dengan kos sara hidup, justeru sebarang kenaikan dalam kos perubatan akan mengekang mereka daripada mendapatkan rawatan perubatan.

Katanya impak daripada itu, tahap kesihatan pengguna akan bertambah teruk akibat tidak mampu untuk membayar kos rawatan.

“Kenaikan yuran perundingan tidak seharusnya lebih tinggi daripada kadar inflasi. Kadar yuran perunding di negara ini adalah yang tertinggi di rantau ini.

“Oleh itu, kementerian perlu berwaspada dalam meningkatkan yuran perubatan,” katanya hari ini.

Berdasarkan sebuah laporan tahun lalu, inflasi penjagaan kesihatan Malaysia adalah 11.5 peratus pada 2016 dan meningkat kepada 12.7 peratus tahun lalu, iaitu lebih tinggi daripada purata Asia sebanyak 10.7 peratus.

Selain itu, S M Mohamed juga menegaskan mandatori bagi seorang doktor untuk menyediakan bil terperinci yang mengasingkan kos perundingan dan kos ubat.

“Sepatutnya harga ubat ini tidak boleh dicaj dengan harga yang tinggi memandangkan yuran doktor adalah berdasarkan kos runding cara.

“Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui berapa banyak yang mereka bayar untuk perundingan dan ubat-ubatan, supaya mereka boleh pilih sama ada untuk mendapatkan ubat dari ahli farmasi atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan caj perundingan pengamal perubatan di klinik swasta dan hospital boleh meningkat antara RM30 hingga RM125.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pada masa ini caj yang dikenakan adalah pada kadar RM10 hingga RM35 dan tidak disemak hampir 12 tahun.

Beliau berkata, cadangan bagi semakan caj berkenaan turut mendapat sokongan bukan sahaja pengamal perubatan, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 6:20 PM