Wong (kanan) beramah mesra bersama orang ramai dan mengedarkan Jalur Gemilang. FOTO Rosela Ismail
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my

“SESETENGAH orang fikir dalam tempoh tiga bulan PH (Pakatan Harapan) ambil alih (pentadbiran), jalan akan berkilat dan bertampal.

“Kita tak ada lampu Aladin, jin yang boleh tolong buat cepat, sekelip mata,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan masalah jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada sidang media selepas mengikuti program ‘walkabout bersama Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Wong Siew Ki, hari ini.

Semalam, calon MCA Tan Chee Teong ketika berkempen dilapor berkata beliau mahu mencantikkan jalan di Bandar Tun Hussein Onn dan Mahkota Cheras jika menang pilihan raya kecil (PRK) Balakong.

Menurut Mohd Anuar, kerajaan PH sentiasa memandang serius isu dan kehendak yang dibangkitkan rakyat dan percaya PRK memberi ruang untuk melihat pelbagai masalah yang perlu diatasi segera.

“Rakyat adalah raja. Cakap raja kena dengar. Jangan main-main dan memperlekehkan rakyat. Kalau rakyat mengadu masa pilihan raya, kita kena bagi perhatian.

“Bakal ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) daripada sekarang akan catat dan berunding dengan jurutera daerah.

“Kami di kementerian boleh berunding dengan Pengarah JKR Selangor untuk mempercepatkan mana-mana yang perlu dipercepatkan.

“Kalau boleh dibantu walaupun jalan negeri, kita akan bantu melalui kementerian dan JKR. Kalau jalan itu jalan persekutuan, itu tanggungjawab kita, ” katanya.

Sementara itu, Mohd Anuar yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) menyindir keputusan MCA menggunakan logo parti buat pertama kali dalam pilihan raya.

“Kita pilih untuk bertanding kali pertamanya guna lambang PH yan gkali pertama diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), yang asal dulu tidak dilulus.

“Cuma lawan kita agak unik juga, dia keluar daripada lambang bersama (Barisan Nasional) dan bertanding atas nama parti dia secara individu.

“Ini berbeza dengan Wong sebab partinya (DAP) pilih guna lambang PH, menunjukkan kita menuju ke arah pembaharuan penyatuan dan bukan berpecah.

“Saya ucapkan ‘bon voyage’ kepada BN yang lambangnya sudah tidak digunakan dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau juga membidas slogan ‘semak dan imbang’ diutarakan Tan dan berharap pengundi di Balakong tidak terpengaruh dengannya, sebaliknya mengundi Wong pada 8 September depan.

“Jangan terpengaruh kempen semak dan imbang. Kita bagi mereka (BN) perintah sudah berapa lama? Dah kalah baru nak semak imbang pula.

“Bukan saya kata tidak perlu semak imbang, tapi mengundi parti yang sudah berpecah untuk menggantikan PH yang diberi kepercayaan majoriti pada pilihan raya lalu?” katanya.

Sementara itu, Wong pula mendakwa rancangan Tan untuk mencantikkan jalan di Bandar Tun Hussein Onn dan Mahkota Cheras diambil daripada perancangan asal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Sebenarnya jalan ini sudah ada dalam rancangan MPKj dan cuma tunggu hebahan. Saya takut calon MCA tumpang lagi pelan kita, saya cakap dulu.

“Slogan MCA bukan semak dan imbang sebenarnya salin dan tumpang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 9:23 PM