KESAN kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Hafizatul Quran, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham


ASRAMA Pusat Tahfiz Hafizatul Quran di Chukai, yang menempatkan 11 anak yatim terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, semua penghuni terbabit terselamat kerana berada di bangunan bersebelahan sedang menghafaz al-Quran.

Penyelia asrama, Abdul Latif Abdul Kadir, 50, berkata asrama terbabit menempatkan pelajar perempuan berusia sembilan hingga 15 tahun.

Katanya, sebelum kejadian, seorang pelajar dikatakan pergi untuk mengambil air sembahyang sebelum ternampak api di dalam sebuah bilik.

“Pelajar terbabit pergi ke bahagian dapur asrama dan mendapati api semakin besar sebelum memaklumkan kejadian itu kepada warden bertugas.

“Warden terbabit kemudian segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran itu memusnahkan tilam dan pelbagai perabot dengan anggaran kerugian sekitar RM20,000.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azmi Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.38 malam sebelum 20 anggota dan tiga pegawai dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai serta Kijal bergegas ke lokasi.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 10 malam, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 12:45 AM