MOHD Anuar Mohd Tahir
Meor Riduwan Meor Ahmad

Balakong: Kerajaan Pakatan (PH) konsisten melunaskan janji penghapusan tol secara berperingkat di seluruh negara dengan mengambil pertimbangan kedudukan kewangan negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, biarpun tidak terkandung dalam janji 100 hari, ia tetap akan dilaksanakan dalam jangka panjang seperti termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa selepas mengetahui keadaan sebenar masalah kewangan dan beban hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Penghapusan tol akan membabitkan bayaran pampasan tinggi kepada pemegang konsesi selain nasib ribuan pekerja syarikat tol yang kehilangan pekerjaan.

“(Hapus) tol bukan janji 100 hari, tapi janji secara jangka panjang. Kita dah sebut dari awal lagi perubahan secara berstruktur dan berperingkat, jadi ia akan berlaku.

“Setelah kita mengambil alih pemerintahan, didapati banyak masalah yang ada. Kewangan negara sudah diambil, hapus licin oleh pemerintah yang lepas, hutang-hutang terlalu banyak yang dibebankan dan bermacam keterikatan kita dengan semua pemegang konsesi,” katanya selepas mengikuti program ‘walkabout’ Bandar Tun Hussein Onn bersama calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balokong, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:51 AM