RUMAH sewa yang baharu sebulan dihuni lima lelaki berusia antara 21 hingga 27 tahun yang dijadikan lokasi memproses daun ketum di Kampung Paya Senang, Telipot. (Gambar kecil) Asisten Superintendan Hasbullah Noor (tengah) bertanya sesuatu kepoada lima lelaki itu. Foto NSTP/ZAMAN HURI ISA
Siti Rohana Idris


TINDAKAN sekumpulan lelaki menyewa sebuah rumah di Kampung Paya Senang, Telipot, di Kota Bharu, sejak sebulan lalu, membongkar rahsia ia dijadikan lokasi memproses daun ketum.

Ia dikesan selepas serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kota Bharu yang diketuai Asisten Superintendan Hasbullah Noor, petang semalam.

Ketika serbuan, lima lelaki sedang merebus daun ketum di bilik belakang rumah sewa terbabit dengan menggunakan empat periuk.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, serbuan dibuat kira-kira 6 petang hasil maklumat orang awam dan juga risikan.

"Ketika serbuan dibuat, semua suspek yang berusia antara 21 hingga 27 tahun sedang memproses daun ketum yang dianggarkan mengandungi 93 liter air rebusan daun ketum dalam semua periuk terbabit.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu juga menemui cecair disyaki ubat batuk (Codien) 0.04 liter yang dipercayai untuk dicampurkan ke dalam air rebusan itu dan 17 kilogram (kg) daun ketum yang masih belum diproses dibalut dengan plastik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, ketika serbuan, ada dalam kalangan suspek cuba melarikan diri, namun gagal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rumah disewa dengan kadar RM250 sebulan itu mempunyai dua bilik dengan bilik belakang rumah itu dan ia dijadikan ruang merebus daun ketum.

Katanya, ketum itu akan direbus sekali seminggu dan dijual dengan harga RM10 sebungkus untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, setiap kali diproses, hasilnya sekitar RM2,000.

“Kesemua ketum yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,525. Polis turut merampas empat periuk, empat dapur gas serta dua tong gas,” katanya.

Menurutnya lagi pihaknya percaya sekumpulan lelaki berkenaan terbabit dengan sindiket yang menjual air ketum.

Bagaimanapun, siasatan lanjut dibuat bagi mengetahui daripada mana bekalan daun ketum itu diperoleh.

“Seorang suspek yang berusia 27 tahun memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:26 PM