Azli diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah memukul isteri yang sedang mengandung pertengahan April lalu. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


PADAH memukul isterinya yang sedang mengandung pertengahan April lalu, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di Melaka, hari ini.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Azli Mohd Zaid, 31, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 31 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Pantai Peringgit, kira-kira jam 1.15 tengah hari, pada 15 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira kecederaan yang ditanggung isterinya, selain dijadikan pengajaran bukan saja kepada tertuduh, malah masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan sudah berbaik dengan isterinya serta berjanji tidak akan terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, tertuduh memukul isterinya menggunakan tangan di bahagian kepala dan tangan sehingga lebam selepas tidak berpuas hati ditegur supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 7:25 PM