Wong melihat papan maklumat PRK DUN Balakong ketika melawat Pusat Media di Philea Mines Beach Resort, Seri Kembangan. FOTO Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


“JIKA Tan Chee Teong benar-benar mahu menjadi suara rakyat, inilah masa untuk membuktikannya kerana di Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti pun, wakil rakyat tetap akan perlu berdebat.

“Saya tidak mahu menganggap Tan pengecut tetapi dia perlu berani dan mencari masa sesuai untuk kami berdebat bagi menjawab segala persoalan mengenai isu pemansuhan tol yang dibangkitkan,” kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki.

Menurut Wong, dia kecewa apabila lawannya enggan memenuhi jemputan berdebat secara langsung menerusi Facebook, anjuran sebuah akhbar berbahasa Cina yang sepatutnya dijadualkan diadakan malam ini.

Katanya, sebelum ini calon MCA itu pernah menyatakan persetujuan ketika wartawan bertanyakan kepadanya mengenai hasrat itu tetapi semalam memberi alasan tidak mempunyai masa.

“Andai mahu menjadi ahli politik, kita perlu bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja.

“Jika sekarang pun tidak mahu macam mana hendak berdebat di sidang DUN kelak?” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Media PRK DUN Balakong di Philea Mines Beach Resort, di Seri Kembangan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kempen untuk PRK, Wong berkata, isu pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pengenalan cukai soda sedikit sebanyak memberi kesan kepada kempen PH.

Begitupun katanya, keputusan kerajaan itu bukanlah untuk menyusahkan rakyat kerana keutamaan PH adalah meringankan beban orang ramai.

“Setiap polisi kerajaan adalah hasil kajian mendalam yang dilakukan dan semua itu adalah untuk membantu rakyat.

“PH baharu menjadi kerajaan, hutang negara pula agak besar dan fokus utama kita sekarang adalah untuk menyelesaikan hutang tanpa menyusahkan rakyat.

“Apapun, kami yakin rakyat akan tetap bersama dan menyokong PH,” katanya.

Sementara itu, dia kini sudah memasuki ‘gear penuh’ menjelang kempen yang hanya berbaki seminggu sahaja lagi.

Katanya, kempen yang diadakan sudah meliputi hampir 70 peratus daripada keseluruhan kawasan DUN Balakong.

“Saya akan berkempen dengan lebih giat lagi menjelang hari-hari terakhir sebelum PRK, 8 September ini.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama pihak media yang turut sama membantu dalam menyampaikan agenda kerajaan kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 5:32 PM