Irwan Shafrizan Ismail dan Noor Atiqah Sulaiman

SIASATAN terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dilengkapkan sebanyak 60 peratus.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, baki siasatan sebanyak 40 peratus pula belum dapat dilengkapkan berikutan ia membabitkan urusan dengan negara luar.

“SPRM sudah memulakan siasatan berhubung kes ini sejak tiga bulan lalu dan kami akan siapkan siasatan dengan secepat mungkin.

“Setakat ini bagi bukti tempatan sudah 60 peratus selesai, dan selebihnya 40 peratus lagi membabitkan bukti di luar negara

“Dengan kekuatan pegawai yang ada

kami siapkan siasatan sebaik mungkin dan bagi masa kepada kita untuk dapatkan keterangan di luar negara, buat siasatan bersama Amerika Syarikat dan Singapura," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan siasatan melibatkan skandal 1MDB yang dijalankan oleh satu pasukan khas dianggotai bekas Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan 1MDB dibuka semula.

Skandal 1MDB mendapat liputan meluas termasuk media antarabangsa kerana ia berkait dengan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 7:43 PM