Noor Atiqah Sulaiman


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengadakan operasi secara besar-besaran mulai tengah malam ini bagi memburu bukan sahaja pendatang asing tanpa izin (Pati), malah majikan degil yang melindungi warga asing terbabit serta sindiket membawa masuk mereka tanpa menyediakan peluang pekerjaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi dinamakan ‘Hari Hari Operasi’ atau HHO itu diadakan di seluruh negara berikutan tamatnya tempoh Program 3+1 iaitu program serah diri warga asing dan pulang secara sukarela ke negara asal masing-masing.

Melalui Program 3+1 itu, Pati perlu membayar denda sebanyak RM300 serta RM100 lagi untuk pas khas bagi membolehkan mereka mendaftar dan pulang ke negara asal masing-masing yang berakhir hari ini.

Beliau berkata, dari Januari hingga 28 Ogos lalu, seramai 181,529 Pati sudah mendaftar dan pulang ke negara masing masing dengan kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh.

“Program diadakan sejak 2014 itu menyaksikan seramai 867,336 Pati menyertai program berkenaan dan sudah dihantar pulang secara sukarela.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mereka, sudah banyak masa diberikan untuk mendaftar dalam program ini.

“Imigresen akan melaksanakan penguatkuasaan secara agresif bagi memastikan sebanyak mungkin Pati dihantar pulang manakala majikan yang degil pula akan diambil tindakan.

“Kami akan mengambil segala langkah perlu dan tindakan tegas bagi menangani isu berkaitan Pati dan warga asing,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan bersama warga JIM di Putrajaya, hari ini.

Mustafar berkata, semua pintu masuk negara akan diperketatkan kawalan keselamatan bagi mengurangkan risiko potensi pelawat asing berkenaan bertukar status menjadi Pati apabila sudah berada di negara ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, seramai 43,429 pelawat asing ditolak kemasukan (NTL) ke negara ini kerana kedatangan mereka diragui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 10:04 PM
MUSTAFAR (tiga dari kiri) meninjau kaunter pada hari terakhir Program 3+1 iaitu program serah diri dan pulang secara sukarela yang akan berakhir pada 12 tengah malam ini di Putrajaya. FOTO Noor Atiqah Sulaiman.
MUSTAFAR (tiga dari kiri) meninjau kaunter pada hari terakhir Program 3+1 iaitu program serah diri dan pulang secara sukarela yang akan berakhir pada 12 tengah malam ini di Putrajaya. FOTO Noor Atiqah Sulaiman.