GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.


“KAWE ayoh mie BN,” itu kata seorang suspek sebelum menetak pergelangan tangan seorang lelaki sehingga hampir putus dalam kejadian di Kampung Telaga Emas, Paka, Dungun, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata dalam kejadian 11.45 malam itu, mangsa berusia 43 tahun ditetak suspek dengan parang sehingga pergelangan tangannya hampir putus.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang berada di dalam rumahnya terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Mangsa membuka pintu dan terkejut mendapati hampir 40 orang tidak dikenali berada di hadapan rumahnya.

“Mangsa yang kehairanan terus menutup pintu dan menukar pakaian dan dalam masa sama pintu rumahnya diketuk bertalu-talu,” katanya.

Baharudin berkata, tidak tahan mendengar bunyi bising pintu rumahnya diketuk, mangsa membuka pintu sebelum suspek memperkenalkan diri dan tiba-tiba menetak tangan kiri mangsa.

Beliau berkata, mangsa cuba menutup pintu, tetapi ditolak dan beberapa lelaki lain kemudian memukulnya menggunakan pelbagai objek.

“Suspek kemudian melarikan diri sebelum kejadian disedari jiran mangsa yang kemudian mengejarkan mangsa ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, berikutan kecederaannya agak parah,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, polis memburu lelaki berusia 54 tahun yang menggunakan nama ‘Padukasetiadiraja Azmi Ismail’ di laman sosial Facebook dan dipercayai tinggal di Kemaman untuk membantu siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang mengenali individu itu atau mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta segera menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 11:45 PM