Mohamed Debab menunjukkan surat yang dihantar kepada pihak bank memberitahu tidak pernah memiliki kad kredit pada April 2003.
Rosman Shamsudin


Slim River: Tidak pernah memiliki kad kredit namun bekas pekerja lombong di sini ‘diburu’ pihak bank yang menuntut hutang lebih RM600,000 daripadanya sejak 23 tahun lalu.

Mangsa, Mohamed Debab, 66, dari Kampung Sri Keledang di sini mendakwa, dia menerima notis bayaran tunggakan kad kredit walaupun tidak pernah memiliki kad berkenaan daripada mana-mana bank tempatan.

Menurutnya, dia memang pernah memohon kad kredit daripada bank tempatan selepas diperkenalkan rakan pada tahun 1994, namun permohonan itu gagal kerana pendapatannya sebagai pekerja lombong ketika itu hanya RM400.

Katanya, bagaimanapun dia terkejut apabila menerima notis pembayaran kad kredit dan tunggakan RM3,271 pada pertengahan tahun 1995.

Mohamed berkata, pada 16 April 2003 dia menulis surat kepada pihak bank berkenaan memaklumkan tidak berhutang kad kredit dan ketika itu hutang dituntut hanya berjumlah RM25,448.86, tetapi pihak bank tetap menghantar notis tuntutan bayaran sehingga kini.

“Laporan polis yang pertama dibuat pada tahun 2007 di Balai Polis Slim River kerana saya mengesyaki ada individu menggunakan pengenalan dirinya dan ketika itu hutang kad kredit yang dituntut hanya RM85,295.

“Walaupun membuat laporan polis, notis tuntutan kad kredit terus diterima dan semakin bertambah sehingga RM142,726.61 menyebabkan saya membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Malim tiga tahun kemudian,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mohamed berkata, dia sudah pergi ke cawangan bank berkenaan di Tanjung Malim dan Ipoh malah hingga ke ibu pejabat bank itu di Kuala Lumpur memaklumkan perkara ini, namun pihak bank tetap menghantar notis tuntutan.

Katanya, terbaru dia menerima notis menuntutnya menjelaskan bayaran tunggakan berjumlah RM602, 662.48 dan surat dari syarikat yang dilantik oleh pihak bank untuk mengutip hutang menyebabkan dirinya semakin tertekan dan tidak lena tidur memikirkan perkara itu.

“Saya memohon pihak bank terus menyiasat perkara ini dan mencari individu yang bertanggungjawab menggunakan pengenalan diri saya kerana apa yang berlaku satu penganiayaan kepada diri saya yang kini berkerja sendiri untuk menampung hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:30 AM