ANGGOTA PPM memeriksa bot berkenaan. FOTO Ihsan PPM

Abdul Rahemang Taiming

cnews@nsto.com.my

PASUKAN Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki tempatan ketika cuba menyeludup keluar 25 tong gas petroleum cecair (LPG) ke Indonesia menggunakan sebuah bot melalui muara Sungai Pukul, dekat Tawau, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota yang menjalankan rondaan Ops Gelora di perairan berkenaan pada jam 3.45 petang.

Katanya, bot laju dikendalikan suspek dipintas sebelum pemeriksaan menemui barangan seludup itu dipercayai cuba dibawa keluar ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 16 tong gas PETRONAS bernilai RM4,000 dan sembilan tong gas MyGaz bernilai RM2,250 disorok di sebalik kanvas dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nazri berkata, suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pemilikan yang sah dari pihak berkuasa untuk membawa barangan kawalan terbabit.

Bot digunakan suspek bersama satu unit enjin sangkut 40 kuasa kuda turut dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM26,050.

Beliau berkata, suspek dan hasil rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Marin Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 11:45 AM