Aksi Fatin semasa acara papan selaju di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 minggu ini.
Aksi Fatin semasa acara papan selaju di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 minggu ini.
Mohd Husni Mohd Noor; Zanariah Abd Mutalib; Hashini Kavishtri Kannan dan Noor Atiqah Sulaiman

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu kepada netizen supaya menghentikan kecaman terhadap atlet papan selaju negara, Fatin Syahirah Roszizi berikutan prestasi tidak memuaskan di Sukan Asia 2018, baru-baru ini.

Sebaliknya beliau mahu kecaman itu ditujukan kepada dirinya dan persatuan sukan berkenaan, bukannya kepada atlet muda berusia 16 tahun itu.

“Kecaman itu sepatutnya diarahkan kepada saya selaku menteri dan persatuan yang bertanggungjawab memilih atlet itu untuk mengibarkan bendera Malaysia di temasya berkenaan.

“Saya selaku menteri akan terus mempertahankan Fatin atas semangatnya menyahut cabaran negara dalam sukan itu,” katanya ketika ditemui media selepas sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Baru-baru ini, netizen melemparkan kecaman terhadap Fatin selepas gagal menunjukkan prestasi terbaik termasuk mempersoalkan pemilihan atlet itu untuk bertanding di temasya sukan itu.

Klip video memaparkan aksi kurang memberangsangkan oleh Fatin itu tular sehingga menerima kecaman dan kritikan hebat orang ramai apabila menamatkan saingan di tangga tercorot.

Syed Saddiq berkata, persatuan sudah menjelaskan bahawa Fatin adalah pilihan terbaik untuk dihantar ke temasya sukan itu selepas siri pemilihan dijalankan.

“Rakyat perlu meraikan keberanian Fatin untuk bersaing bersama jaguh antarabangsa dan beri sokongan tidak berbelah-bahagi kepada atlet terbabit,” katanya.

Beliau sudah meminta pegawainya untuk mengatur pertemuan bersama Fatin bagi menyatakan sokongan moral terhadap atlet muda itu.

“Saya harap kenyataan dan sokongan ini akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk berjaya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq kesal dengan kenyataan tidak masuk akal segelintir rakyat Malaysia berhubung perkongsiannya mengenai aksi atlet gimrama negara, Izzah Amzan di laman Instagram, baru-baru ini.

“Segelintir masyarakat hanya memberi tumpuan terhadap pakaian yang dipakai atlet gimrama itu, malah turut menyifatkan ia satu sukan yang haram. Mereka mahu supaya saya tidak mempromosikan sukan itu.

“Saya tidak faham. Selaku menteri, saya harus mengangkat semua atlet dan pada masa sama, menghargai perjuangan setiap atlet yang bertanding,” katanya.

Beliau kecewa dengan kenyataan dikeluarkan segelintir masyarakat itu kerana setiap atlet mempunyai kisah pengorbanan tersendiri sebelum terpilih mewakili negara.

“Mereka dilatih seawal enam ke tujuh tahun dan ia bukan mudah selain terpaksa menjalani latihan yang keras.

“Saya kecewa dengan pertikaian isu ini. Gimrama bukan satu sukan yang mudah dan mereka yang terbabit perlu melalui pelbagai cabaran sebelum layak bergelar atlet gimrama,” katanya.

Isu berkenaan menjadi bualan ramai oleh netizen di laman sosial berikutan pemakaian atlet berusia 17 tahun itu yang dikatakan tidak menutup aurat ketika beraksi dan ada antara mereka mencadangkan memakai seluar labuh ketika melakukan persembahan.

Berhubung sasaran pingat kontinjen negara di Sukan Asia, Syed Saddiq berkata, sasaran itu boleh berubah memandangkan ramai atlet negara yang bakal beraksi di pentas akhir termasuk pasukan hoki lelaki.

“Sasaran tujuh pingat emas masih kekal, namun saya yakin akan ada pertambahan. Sasaran itu masih sama tetapi dengan beberapa sukan belum memulakan saingan akhir seperti pelayaran, skuasy dan hoki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 10:29 PM