WANITA warga asing yang bekerja sebagai GRO ditahan oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Kajang ketika Ops Noda di salah sebuah pusat karaoke di Dataran C108, Cheras. FOTO/ SAIRIEN NAFIS
WANITA warga asing yang bekerja sebagai GRO ditahan oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Kajang ketika Ops Noda di salah sebuah pusat karaoke di Dataran C108, Cheras. FOTO/ SAIRIEN NAFIS
Hasbi Sidek


PUSAT karaoke di Dataran C108, dekat Cheras, Kuala Lumpur, yang dikesan menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) di serbu pihak polis, malam tadi.

Dalam operasi yang bermula 11 malam itu, polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang menahan 25 wanita warga Vietnam dipercayai (GRO) yang bekerja di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya mendapati 16 daripada pengunjung lelaki positif dadah.

"Hasil pemeriksaan ke atas pusat karaoke ini, kami menahan seramai 25 wanita warga asing yang bekerja di premis sebagai GRO, berusia dalam lingkungan 20-an. Maklumat yang kami terima berlaku kegiatan maksiat di premis ini.

"Dalam masa sama, ketika serbuan dijalankan, terdapat 68 pengunjung sedang berhibur dan hasil saringan ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan methaphetamine, " katanya ketika sidang media sejurus operasi, malam tadi.

DZARRIF (dua dari kanan) ketika membuat pemeriksaan warga asing yang bekerja sebagai GRO ketika Ops Noda di salah sebuah pusat karaoke di Dataran C108, Cheras. FOTO/ SAIRIEN NAFIS
DZARRIF (dua dari kanan) ketika membuat pemeriksaan warga asing yang bekerja sebagai GRO ketika Ops Noda di salah sebuah pusat karaoke di Dataran C108, Cheras. FOTO/ SAIRIEN NAFIS

Dalam operasi yang tamat kira-kira 2 pagi itu, polis turut menahan lapan pekerja pusat karaoke terbabit bagi membantu siasatan.

Ahmad Dzaffir berkata, premis terbabit pernah diserbu sebanyak dua kali pada tahun ini, namun dikesan masih menjalankan perniagaan mereka meskipun tanpa sebarang lesen.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan sempena cuti sambutan Hari Kebangsaan dan pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di empat premis sejak 30 Ogos lalu selain akan meneruskan serbuan hingga 2 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 3:00 PM