BAPA tiri suspek cedera selepas ditetak oleh anak tirinya di Kampung Saga, Jalan Numbak, Manggatal. (Gambar kecil) Pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan suspek. Foto NSTP/IHSAN PEMBACA. (mohon blurkan muka mangsa)
Junaidi Ladjana


LELAKI parah ditetak dengan pisau pemotong daging oleh anak tirinya ketika cuba menghalang suspek daripada menyerang ibu kandungnya di rumah mereka di Kampung Saga, Jalan Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, 66, parah di kepala dan menerima 15 jahitan selain luka di kedua-dua tangannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati suspek, 25, dikatakan mahu ibunya keluar dari rumah tanpa sebab, namun wanita itu enggan sebelum anak lelakinya berang lalu bertindak mengambil pisau dan mengacu pada ibunya.

“Bapa tiri suspek yang kebetulan melihat kejadian kemudian menghalang anak tirinya (suspek) daripada menetak ibunya.

“Suspek yang marah kerana dihalang oleh bapa tirinya bertindak agresif menetak mangsa di kepala sebanyak tiga kali, selain di lengan dan bahagian siku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa kemudian berlari keluar lalu meminta pertolongan daripada jiran.

“Anggota polis yang menerima laporan kemudian bergegas ke lokasi dan suspek berjaya ditahan di kawasan kampung itu jam 11.20 pagi hari yang sama.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek direman bermula hari ini hingga 6 September depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 7:54 PM