NURUL Huda bersama dua daripada lima anaknya, Nur Iman Solehah, 18, (kiri) dan Umi Darwisyah, 8, (tengah) melihat artikel berkenaan suaminya yang pernah disiarkan Harian Metro. Foto STR/ZAID SALIM


“PERASAAN saya berdebar, gembira dan tidak sabar untuk menatap wajah suami,” kata Nurul Huda Yatim, 43, apabila mendapat tahu suaminya, Abdul Rashid Nik, 52, nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu akan dibebaskan, esok.

Nurul Huda berkata, sejak ditahan pada 4 April lalu, dia bersama lima anaknya, Mohamad Hamizzul Kamal, 25, Nur Syahirah, 23, Umi Najihah, 20, Nur Iman Solehah, 18, dan Umi Darwisyah, 8, amat merindui Abdul Rashid.

Katanya, mereka juga sentiasa mendoakan lelaki yang menjadi 'dahan' tempat mereka bergantung selamat dan diberikan kesihatan yang baik.

“Hampir enam bulan, kami hanya melepaskan rindu menerusi telefon apabila suami menghubungi selain bertanya keadaan anak-anak.

“Ini kali kedua saya 'kehilangannya' dan kali pertama kira-kira 17 tahun lalu apabila dia pernah ditahan kerana masalah sama. Saya tidak sanggup lagi 'kehilangannya' selepas ini,” kata Nurul Huda ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Kos Rendah Taman Permint Perdana, Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini.

Nurul Huda berkata, suaminya yang kini menjalani hukuman di penjara Tanjung Pinang, Indonesia dijangka pulang dan di tiba di Jeti Stulang, Johor Bharu.

“Saya difahamkan suami akan tiba di Jeti Stulang, esok. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jadual perjalanan feri dari Tanjung Pinang.

“Kalau esok tak sampai, kemungkinan suami akan sampai lusa (Isnin) dan anak sulung yang bekerja di Kuantan, Pahang akan menyambutnya di sana,” katanya.

Nurul Huda berterima kasih kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman kerana banyak membantu sama ada berkaitan hal kewangan dan usaha bagi membebaskan suaminya.

Pada 8 April lalu, Abdul Rashid bersama lima awak-awak termasuk adik kandungnya, Abdul Halim, 43, Fadli Jaafar, 41, Mohd Zaidi Mohammad, 23, dari Kampung Seberang Takir dan Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman serta seorang lagi warga Thailand ditahan kapal tentera Indonesia selepas bot mereka tersasar melepasi perairan negara itu jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, Abdul Halim dan Fadli dibebaskan pada 26 Mei lalu, manakala Mohd Zaidi dan Firdaus dibenarkan pulang selepas selesai menjadi saksi perbicaraan kes Abdul Rashid sebelum lelaki itu dijatuhi hukuman.

Pembebasan nelayan terbabit dibuat hasil kesepakatan dicapai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, Sarawak pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 10:45 PM