“KESEDIHAN saya kehilangan isteri masih belum terubat dan hari ini Allah uji saya sekali lagi,” pilu kata-kata Sidek Mat Saad, 50, selepas anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 76, Jalan Jerangau-Jabor, di Dungun, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 5.20 petang berhampiran Stesen Jambatan Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Besi, di sini, anaknya Muhammad Amirul Nabil Sidek, 15, maut bersama rakannya, Muhammad Nor Eyizhar Mohd Shukri, 16.

Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal Honda EX5 dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.

Ketika kejadian, motosikal dinaiki mangsa dari arah Bukit Besi ke Jerangau berada di depan pacuan empat roda itu, sebelum Toyota Hilux berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu melanggar besi penghadang jalan.

Kenderaan itu kemudian sekali lagi terbabas ke kiri jalan dan sebelum merempuh motosikal dinaiki mangsa yang berada di depan.

Sidek yang bekerja sebagai buruh di Kampung Dendang berkata, ketika kejadian dia sedang mengambil upah mengangkat barang di sebuah kedai di kampungnya.

“Saya tak tahu arwah keluar kerana seharian bekerja dan saya terkejut apabila mendapat panggilan mengatakan anak terbabit kemalangan.

“Saya ingat kemalangan kecil saja dan sebaik tiba di tempat kejadian, saya sangat terkejut rupanya anak saya sudah tiada,” katanya sayu.

Beliau berkata, kejadian itu sangat menyedihkan kerana dia baru kematian isteri, Aslina Abdul Rahman, tiga tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan hari ini sekali lagi diduga kehilangan anak bongsunya.

“Hanya Allah tahu perasaan saya ketika ini. Belum hilang kesedihan kematian isteri tiga tahun lalu, saya sekali lagi perlu menerima ketentuan Allah yang lebih menyayangi anak saya.

“Saya reda dan tabah dengan ujian ini dan kini hanya anak perempuan berusia 20 tahun satu-satunya tempat saya mengadu nasib,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 11:21 PM