X
RABBANI tidak jangka akan menang cabutan BSN SSP bernilai RM1 juta.
RABBANI tidak jangka akan menang cabutan BSN SSP bernilai RM1 juta.
Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: “Allah memberikan saya rezeki di luar jangkaan dan mungkin ganjaran ini dilipat gandakan daripada amalan sedekah hasil perniagaan kedai makan keluarga,” kata A Z Rabbani Rozali, 33, yang memenangi Cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN), Sijil Simpanan Premium (SSP) Julai bernilai RM1 juta.

Kontraktor Kelas F itu berkata, dia langsung tidak menjangka memenangi cabutan berkenaan kerana hanya sekadar menyimpan dalam SSP BSN sejak tiga tahun lalu.

“Rezeki ini bukan untuk saya seorang, tapi untuk keluarga juga terutama adik-beradik yang terbabit dengan perniagaan kedai makan kerana mereka turut memberi wang untuk saya menyimpan dalam SSP BSN.

“Mungkin rezeki ini hasil daripada kedai makan keluarga yang dibuka sejak 2013 dan kami sering bersedekah memberi makanan percuma kepada anak yatim sekitar daerah ini setiap Khamis.

“Saya bukan mahu riak, tapi mungkin (cabutan RM1 juta) disebabkan amalan sedekah yang diamalkan ini. Sebagai peniaga, tidak salah kalau kita kongsi hasil keuntungan kepada orang memerlukan, barulah rezeki kita lebih berkat,” katanya ketika ditemui di sini.

Rabbani berkata, dia menganggap kemenangan itu sebagai hadiah hari lahirnya pada 29 Julai lalu kerana berita yang diterimanya juga pada hari sama.

“Pada mulanya wakil bank terbabit hanya mengucapkan selamat hari lahir ketika menghubungi saya pada 29 Julai lalu. Dia kemudian memberitahu bahawa saya adalah pemenang yang dicari-cari.

“Sebaik pegawai bank terbabit memaklumkan berita itu, saya tergamam dan menganggap seolah-olah berada dalam mimpi,” katanya yang turut memberitahu pegawai bank terbabit turut datang ke rumah bagi memaklumkan berita berkenaan.

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, dia berhasrat mahu menambah nilai hidup keluarganya dan membawa mereka menunaikan ibadat umrah menggunakan wang dimenangi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:20 AM