TAN beramah mesra dengan kanak-kanak yang mengambil bahagian Pertandingan Mewarna pada sambutan Hari Kebangsaan di Pekan Batu 11, Cheras.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my

Balakong: Kerajaan sihat perlu diimbangi dengan suara pembangkang yang kuat bagi menjamin permasalahan rakyat dapat didengari secara konsisten dan menyeluruh.

Calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong berkata, apa yang berlaku di Selangor hari ini, Pakatan Harapan (PH) sudah terlalu kuat menyebabkan mereka terleka melaksanakan tugas.

“Sebab itu kita mesti perkukuhkan kerusi pembangkang kerana apa yang berlaku sekarang bukan keseimbangan kuasa yang adil dan sangat berbahaya.

“Mana-mana kerajaan harus takut terhadap pembangkang kerana hanya dengan cara ini kita boleh memastikan kerajaan membuat kerja dan melaksanakan janji mereka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Tan berkata, berdasarkan laporan akhbar berbahasa Cina baru-baru ini, Selangor yang mempunyai 51 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya diwakili lima pembangkang.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan penurunan jumlah soalan dibangkitkan pada persidangan kepada 420 soalan berbanding lebih 700 sebelum ini.

“Justeru, saya merayu penduduk Balakong mengundi saya kerana ia bukan saja satu kemenangan untuk MCA, tetapi untuk rakyat Selangor.

“Kami akan memastikan amalan semak dan imbang dipraktikkan, sekali gus mengelak kerajaan daripada mengambil keputusan sambil lewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:01 AM