DR Mahathir  disambut  Al-Mutahdee  di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam, semalam.
DR Mahathir disambut Al-Mutahdee di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam, semalam.
Hardi Effendi Yaacob

Bandar Seri Begawan: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini, semalam bagi memulakan lawatan kerja dua hari beliau ke negara berkenaan.

Ketibaan Perdana Menteri diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Al-Mutahdee Billah sebagai mewakili ayahandanya, Sultan Hassanal Bolkiah.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia, Datuk Paduka Alaihuddin Awang Mohd Taha dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Rafedah Abdul Aziz.

Ini lawatan rasmi pertama Dr Mahathir ke Brunei selepas kembali memegang jawatan Perdana Menteri, khusus bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat antara kedua-dua negara.

Malah, Brunei adalah negara Asia Tenggara dan ASEAN kedua dilawati beliau selepas Indonesia, Jun lalu, yang juga sebahagian daripada siri lawatan pengenalannya selepas kembali menerajui kepemimpinan negara.

Ia juga sebagai lawatan balas kepada kunjungan Sultan Brunei yang muncul sebagai pemimpin serantau pertama melawat Dr Mahathir, tiga hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Dr Mahathir mempunyai aturcara padat sepanjang dua hari berada di bandar raya ini, termasuk menghadiri Majlis Makan Malam dan Sesi Dialog Bersama Rakyat Malaysia di Hotel Rizqun International.

Hari ini, Perdana Menteri dan Sultan Brunei dijadual mengadakan tinjauan mesra di Taman Mahkota Jubli Emas, disusuli acara menandatangani plak peringatan dan ‘Pokok Persahabatan’ sebagai simbolik meraikan hubungan akrab Malaysia- Brunei.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan mengadakan pertemuan tertutup di Istana Nurul Iman, khusus bagi membincangkan agenda memperkasakan hubungan kedua-dua negara, termasuk dalam konteks kerjasama ekonomi, selain membincangkan isu berkaitan kepentingan Malaysia - Brunei, khususnya membabitkan Sabah dan Sarawak yang ‘berkongsi’ sempadan dengan negara ini.

Dr Mahathir kemudian dijadualkan memberikan ucaptama di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang dijangka menyentuh pengalamannya dalam bidang pentadbiran, politik, kewangan dan ekonomi, termasuk kejayaan beliau kembali menerajui kepemimpinan tertinggi Malaysia, sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:06 AM