LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai kisah Amarul Hafiz yang gigih ke sekolah di samping menjaga ibunya yang sakit.
Khairul Najib Asarulah Khan
cnews@nstp.com.my


“ALHAMDULILLAH, ramai tampil membantu selepas kisah kami tular. Ramai menghulurkan sumbangan tidak kurang juga memberikan kata-kata semangat selain mendoakan kesejahteraan saya sekeluarga,” kata Amarul Hafiz Mohd Shah, 16.

NSTP semalam melaporkan kisah Amarul Hafiz mengambil upah menguli tepung roti canai bagi menampung perbelanjaan harian keluarganya selepas tamat waktu persekolahan.

Dia mengalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebelum ini menjual kek dan kuih bahulu selepas kesihatan ibunya, Rohaya Ahmad, 48, terjejas akibat penyakit saraf dan angin ahmar.

Namun, sejak ketuhar digunakan rosak pada Jun lalu, dia mengambil upah menguli tepung roti canai setiap malam di rumah bapa saudaranya di Kampung Sentosa, Paroi.

Amarul Hafiz berkata, dia terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang peka menghulurkan bantuan tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

“Bukan sahaja sumbangan atau bantuan diharapkan, malah kata semangat dan doa diberikan netizen menaikkan semangat saya untuk terus berbakti kepada ibu.

“Walaupun ada menganggap saya terlalu muda kerana masih di bangku sekolah, saya ingin buktikan pengorbanan anak terhadap ibu bapa tidak seharusnya diukur menerusi usia,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Height, Senawang.

Amarul Hafiz berkata, duit sumbangan diterima itu akan digunakan untuk membeli keperluan ubatan ibunya termasuk melangsaikan bil utiliti rumah yang tertunggak.

Katanya, selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan, dia bercadang untuk membeli ketuhar baharu dan mahu meluaskan perniagaan ibu yang terhenti seketika.

Ibunya, Rohaya Ahmad, 48, disahkan menghidap apendiks sehingga menyukarkan untuk dia bergerak pada 2015 dan lebih menyedihkan wanita itu turut berstatus ibu tunggal apabila berpisah dengan suami.

Amarul Hafiz yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, selepas bercerai, ibunya mengambil upah menjahit baju untuk menyara kehidupan, tetapi tidak lagi berbuat demikian apabila kesihatannya merosot.

Pada Julai tahun lalu, keluarganya sekali lagi diuji apabila ibu diserang penyakit saraf menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong dan turut diserang angin ahmar.

Walaupun ibu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM250 sebulan dan bantuan Baitulmal untuk barangan dapur bernilai RM80, ia tidak cukup untuk menampung perbelanjaan termasuk kos perubatan ibunya.

Orang ramai ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 155127147566 atas nama Amarul Hafiz Mohd Shah.

Berita berkaitan

'Siang ke sekolah, malam uli tepung'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 5:58 PM