LAPORAN portal berita Harian Metro pada 24 Ogos lalu mengenai Muhammad Ummar Zayyan yang ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau, Seremban selepas mengalami pendarahan otak dan mata dipercayai akibat didera.
Ifwan Tun Tuah


BAYI empat bulan yang mengalami pendarahan otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau, Seremban, minggu lalu, tidak lagi bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Bapanya Muhammad Haikal, berkata keadaan anak tunggalnya itu, Muhammad Ummar Zayyan, semakin baik selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku daripada kepalanya di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, pada malam Jumaat lalu.

“Pembedahan berlangsung selama dua jam dan doktor memberitahu pembedahan itu dianggap berjaya. Keadaannya stabil serta bertambah baik hari ini dan dia tidak lagi perlukan mesin bantuan pernafasan.

“Dia sudah mula merengek dan sesekali menangis, namun belum memberi reaksi apabila namanya dipanggil. Biarpun begitu, doktor berkata dia masih mempunyai harapan untuk pulih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Ummar Zayyan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau, pada 20 Ogos lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, dilaporkan berkata, anaknya itu mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui Facebook kira-kira seminggu sebelum kejadian berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Haikal berkata, keadaan pendarahan mata anaknya akan diperiksa oleh pakar pada Rabu ini dan keputusan sama ada rawatan lanjut memerlukan pembedahan atau tidak, akan diputuskan selepas itu.

Muhammad Haikal berkata, dia serta isteri berharap anaknya yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) pulih dengan segera dan memohon orang ramai mendoakan supaya Muhammad Ummar Zayyan diberi kesembuhan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan, berkata pengasuh berusia 23 tahun yang ditahan Jumaat minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Khamis lalu.

“Majistret tidak membenarkan wanita itu diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Oktober depan,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Sawan bayi koma berkurangan'

'[UPDATE] Pengasuh Ummar Zayyan direman'

'[UPDATE] Pengasuh bayi koma ditahan'

'Kenapa bayi kami koma?'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 7:12 PM