PIKAP digunakan suspek untuk membawa empat PATI ditembak dua kali sebelum terbabas di Kawasan Perindustrian Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, hari ini. FOTO ihsan polis.
Farah Suhaidah Othman


POLIS mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki seorang lelaki tempatan dan empat pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar selama lebih dua jam sebelum menembak tayar kenderaan itu dan menahan mereka, hari ini.

Selain merempuh palang plaza tol, kenderaan pikap Mitsubishi Triton dipandu lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu turut melanggar beberapa kenderaan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias, berkata kejadian bermula apabila kereta peronda polis (MPV) mengesan pikap terbabit dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pengkalan Pegoh, Ipoh, pada 5.30 pagi.

Katanya, polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun pemandunya enggan lalu memecut laju.

“Polis mengejar dan mengekori kenderaan itu, namun suspek terus memecut laju dalam keadaan agresif sebelum pikap itu merempuh beberapa kenderaan hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kenderaan suspek kemudian menghala ke Batu Gajah melalui Jalan Changkat Larang sebelum menghala ke Tanjung Tualang bagi melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, anggota polis MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang turut dibantu anggota MPV IPD Batu Gajah dan Perak Tengah mengejar kenderaan suspek sehingga memasuki Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui susur masuk di Tol Gopeng.

“Apabila tiba di tol susur keluar Simpang Pulai, kenderaan suspek terus merempuh palang tol sebelum melalui Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dan menghala ke arah Cameron Highlands.

“Polis memberikan amaran menerusi alat pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaannya, namun dia enggan menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang pikap terbabit ketika berada di Kawasan Perindustrian Keramat Pulai.

Tembakan itu menyebabkan kenderaan itu terbabas ke dalam parit sebelah kiri jalan,” katanya.

Beliau berkata, ketika tangkapan dijalankan, semua suspek cedera di bahagian kepala dan badan akibat cuba bertindak agresif untuk melepaskan diri daripada polis.

Katanya, semakan mendapati suspek rakyat tempatan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah manakala empat lelaki Myanmar tidak mempunyai pengenalan diri.

“Semakan turut mendapati pikap dinaiki semua suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 8:37 PM