GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000, petang tadi.

Beliau yang berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek dipercayai melantik sebuah syarikat milik anaknya sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat DUN.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi NSTP mengesahkan suspek ditahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:21 PM