NOREHAN Mohd Yunus, 54, mengelap tubuh anaknya, Mohd Farhan Danial Kamsiran, 16, yang terlantar kerana menghidap kanser darah dan patah kaki berpunca daripada jangkitan kuman, ketika ditemui dirumahnya di Sungai Isap Perdana. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


REMAJA yang aktif dalam sukan termasuk bola sepak, Muhammad Farhan Danial Kamsiran, 16, terpaksa melupakan alam persekolahan buat sementara waktu.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan, ini disahkan menghidap kanser darah risiko tinggi atau Precursor B-cell acute lymphoblastic leukimia (Pre-B ALL) awal Januari 2017.

Ibunya, Norehan Mohd Yunus, 54, berkata, pada Mei lalu, kedua-dua belah kaki anak ketiga daripada empat beradik itu patah berpunca daripada jangkitan kuman.

Katanya, Muhammad Farhan dikesan mengidap kanser itu apabila menjalani ujian imbasan tomografi (CT Scan) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas mengalami sakit kepala dan mata serta timbul kelenjar di bahagian bawah kedua-dua belah telinga.

"Pada 25 Disember 2016, saya membawanya membeli pakaian untuk sesi baharu persekolahan 2017 dan ketika sibuk mencari barangan keperluan dia mengadu sakit kepala dan mata yang teramat sangat. Sejak itu, dia kerap mengadu pening kepala malah hampir pitam ketika hadir pada hari pertama sekolah.

"Masuk hari kedua ke sekolah, dia sudah tidak berdaya dan saya terus membawanya ke klinik dan hasil ujian menunjukkan bacaan darahnya terlalu rendah lalu diminta rujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum dia disahkan menghidap kanser darah menerusi ujian yang dijalankan.

"Berikutan itu, Muhammad Farhan ditahan di hospital untuk rawatan lanjut selama seminggu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selama tiga bulan untuk menjalani rawatan kimoterapi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Isap Perdana di sini, hari ini.

Norehan berkata, derita Muhammad Farhan berlanjutan sehingga dia demam, cirit birit, muntah dan sakit di kedua-dua belah kakinya bermula 6 Februari lalu.

Katanya, selama dua bulan Muhammad Farhan dirawat di HTAA tetapi demamnya tidak sembuh, malah bahagian kakinya bertambah sakit walaupun diberikan ubat dan antibiotik.

"Saya meminta Muhammad Farhan menjalani imbasan-x dan segalanya terjawab apabila hasil ujian menunjukkan kaki kirinya patah tiga dan kaki kanan patah dua yang dikatakan berpunca daripada jangkitan kuman. Kini kaki anak saya dipasang besi untuk mencantumkan tulang yang patah dan ianya dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada awal Mei lalu.

Norehan berkata, ketika ini rawatan kimoterapi yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ditangguhkan buat sementara bagi merawat kaki Muhammad Farhan.

Norehan dan suaminya, Kamsiran Mohd Alwi, 56, yang bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) Unit Tentera Pahang sudah membelanjakan hampir RM30,000 termasuk untuk membeli susu, antibiotik, alat sokongan, kos pengangkutan dan penginapan dalam tempoh hampir dua tahun merawat anak mereka.

"Saya sudah mengemukakan permohonan bantuan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi sehingga kini belum ada perkembangan dan berharap diluluskan bagi membantu menampung kos rawatan anak," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 11104-41-00009437-7 atas nama Norehan Mohd Yunus atau hubungi 016-9002996 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:11 AM