FOTO Hiasan
Mary Victoria Dass


MASALAH kehilangan pendengaran dikenal pasti sebagai penyakit paling ketara dan membimbangkan di Johor.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Saiful Azhar Mohd Said berkata, sebanyak 700 penyakit pekerjaan dilaporkan di Johor sejak awal tahun hingga kini.

Beliau berkata, pihaknya mensasar angka berkenaan meningkat kepada 780 kes dalam tempoh empat bulan terakhir ini.

Menurutnya, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada penyakit pekerjaan yang dilaporkan adalah kehilangan pendengaran yang berpunca daripada pencemaran bunyi ketika dalam pekerjaan.

"Penyakit pekerjaan lain yang turut ketara dilaporkan termasuk kecederaan anggota badan dikenali sebagai penyakit otot rangka atau Muscular Skeletal Disorder (MSD).

"Kami yakin masih banyak kes belum dilaporkan dan berharap lebih ramai pekerja tampil melaporkan penyakit pekerjaan bagi membolehkan kami menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sesuai.

"Kami mengalu-alukan sektor perubatan termasuk hospital turut melaporkan kes berkaitan kepada JKKP," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Kempen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), di Hospital KPJ Pakar Puteri Johor Bahru, Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pakar Puteri, Haliza Khalid.

Sementara itu Haliza berkata, pihaknya sentiasa mempromosikan kesedaran OSH dalam kalangan kakitangan hospital terbabit.

Menurutnya, ia bertujuan memupuk kesedaran dan meningkatkan pengetahuan berkaitan OSH dalam kalangan kakitangan serta menggalakkan mereka mengamalkannya ketika memberi perkhidmatan kepada pesakit.

"Dalam usaha berkenaan, kami mensasar untuk mencapai sifar kemalangan dalam kalangan kakitangan hospital bagi sejuta jam waktu pekerjaan.

"Kempen 1 Milllion Man-Hours Zero OSH Incident' akan membabitkan 700 kakitangan dan waktu pekerjaan mereka kira-kira lapan jam sehari. Kempen berkenaan bermula hari ini dan berakhir Mac 2019 iaitu membabitkan 189 hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 3:02 PM