Nor Fazlina Abdul Rahim


BUKIT Aman dengan kerjasama Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 81 kilogram dadah jenis syabu, 5,700 biji pil eramin 5 dan 2,000 pil yaba membabitkan nilai RM4.3 juta menerusi serbuan serentak di tiga lokasi kelmarin.

Dalam serbuan 3.55 pagi hingga 4.10 pagi di dua lokasi Kampung Derdak Limbat dan Kampung Kepas Jalan Banggol Jerih, Pasir Mas itu tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 34 tahun ditahan polis

Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan hasil risikan selama sebulan selepas mendapat maklumat awam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan pertama di Kampung Derdak Limbat membawa kepada penahanan lelaki berusia 33 tahun.

Katanya, menerusi serbuan itu pihaknya merampas 80.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang sudah siap dibungkus, 5,700 pil eramin 5; 2,000 pil yaba dan 167 pil ekstasi.

“Serbuan kedua di Kampung Kepas Jalan Banggol Jerih, Pasir Mas menahan lelaki berusia 30 tahun dan merampas 467 gram dadah syabu manakala tangkapan ketiga lelaki berusia 34 tahun di Kampung Derdak Limbat pula tiada sebarang rampasan.

“Kita turut menyita Perodua Myvi dan Proton Satria, sebuah motosikal serta wang tunai RM5,900 dengan nilai keseluruhan RM65,000,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati ketiga-tiga lelaki yang ditangkap adalah kumpulan sama dan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu.

“Siasatan kita mendapati, bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan serta sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan jumlah rampasan itu, bekalan itu boleh digunakan lebih 412,000 individu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ketua sindiket berkenaan termasuk mengenal pasti pasti sama ada mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket antarabangsa,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman seminggu sehingga 8 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 3:14 PM
DADAH yang dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Bukit Aman dengan kerjasama JSJN PDRM Kelantan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas. FOTO Zaman Huri Isa
DADAH yang dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Bukit Aman dengan kerjasama JSJN PDRM Kelantan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas. FOTO Zaman Huri Isa