PRODUK tradisional Tie Da Zhi Tong Gao. FOTO Kementerian Kesihatan Malaysia
Irwan Shafrizan Ismail


KEMENTERIAN Kesihatan membatalkan pendaftaran produk tradisional Tie Da Zhi Tong Gao yang dikesan mengandungi racun berjadual Diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjual dan pengedar produk itu diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk dengan serta-merta.

Beliau berkata, orang awam juga diminta untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional berkenaan.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hasil pemantauan di pasaran mendapati produk ini dikesan mengandungi racun berjadual, Diphenhydramine di dalam formulasi produk tradisional.

“Sehubungan itu, pendaftaran produk ini sudah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 28 Ogos lalu berikutan pengesanan racun berjadual itu di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Produk Tie Da Zhi Tong Gao didaftarkan sebagai produk tradisional untuk kesakitan akibat lebam dan terseliuh serta sakit otot dan sakit sendi.

Diphenhydramine adalah sejenis antihistamin untuk melegakan reaksi alahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperolehi daripada doktor atau ahli farmasi.

Kesan sampingan Diphenhydramine yang digunakan secara topical (digunapakai ke atas permukaan badan) termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya.

Dr Noor Hisham berkata, penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Selain itu katanya, pengguna dan orang awam dinasihatkan untuk menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari http://npra.moh.gov.my/.

“Dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan, orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan sebarang maklumat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 6:40 PM