Audrey Dermawan

PIHAK pendakwaan perlu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dalam kes rasuah mereka.

Peguam, Datuk Ranjit Singh Dhillon berkata, rayuan itu perlu difailkan segera kerana Jabatan Peguam Negara sudah pun menjelaskan bahawa pihak pendakwaan hanya memohon dilepas tanpa dibebaskan bagi dakwaan terhadap kedua-dua tertuduh tetapi mahkamah membebaskan mereka.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara mesti melakukan perkara yang betul untuk melindungi integriti institusi itu berikutan ia membabitkan kepentingan awam.

Menurutnya, ia juga adalah perkara yang betul untuk Tommy Thomas lakukan bagi memelihara integritinya sebagai Peguam Negara yang dilantik Pakatan Harapan.

“Jabatan Peguam Negara sudah menjelaskan pihak pendakwaan hanya memohon pelepasan tanpa dibebaskan mengikut peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah. Ia tidak meminta pembebasan sepenuhnya.

“Hakim bagaimanapun memberikan pembebasan sepenuhnya, oleh sebab itu, pihak pendakwaan harus mengemukakan rayuan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Baljit Singh juga menyeru pihak pendakwaan untuk merayu keputusan mahkamah yang membebaskan kedua-dua tertuduh.

“Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan adalah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 7:42 PM