ABDUL Rashid disambut ahli keluarganya di perkarangan rumah keluarga mentua di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Zaid Salim


LINANGAN air mata Nurul Huda Yatim dan lima anaknya cukup untuk menzahirkan kegembiraan mereka sebaik orang yang disayangi, Abdul Rashid Nik muncul di halaman rumah, jam 6.40 petang hari ini.

Abdul Rashid yang tersenyum gembira turut disambut anaknya, Nur Syahirah, 23, Umi Najihah, 20, Nur Iman Solehah, 18, dan Umi Darwisyah, 8.

Sebaik tiba, Abdul Rashid yang diiringi anak sulungnya, Mohamad Hamizzul Kamal, 25, memeluk isteri dan anak-anaknya serta adik-beradik dan saudara maranya terpisah selama lebih setahun.

“Saya bersyukur apabila suami yang saya rindui hari ini berada di depan mata.

“Setahun lima bulan saya hanya mendengar suara suami menerusi telefon. Hanya Allah sahaja yang tahu kegembiraan saya ketika ini.

“Biarlah apa yang terjadi ini menjadi yang terakhir kerana saya dan anak-anak tidak dapat meneruskan hidup tanpa suami,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentua di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Abdul Rashid yang tiba di Jeti Stulang, Johor Bharu semalam disambut Mohamad Hamizzul sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kuantan dan bertolak balik ke Seberang Takir, selepas solat Zuhur.

Sebelum ini, Abdul Rashid ditahan tentera laut Indonesia pada 8 April 2017 kerana menangkap ikan bersama lima awak-awak di perairan negara itu menjalani hukuman sebelum dibebaskan dari Penjara Tanjung Pinang, Indonesia jam 12 tengah hari, semalam,.

Bagaimanapun, lima awak-awak termasuk adik kandungnya, Abdul Halim, 43, Fadli Jaafar, 41, Mohd Zaidi Mohammad, 23, dari Kampung Seberang Takir dan Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman dan seorang lagi warga Thailand masing-masing sudah dibebaskan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 10:08 PM