DATUK Seri Hishammuddin Hussein. FOTO Arkib NSTP
Safeek Affendy Razali


BEKAS Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan sudah bertemu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.

Ia dilakukan bagi membantu siasatan berhubung salah guna peruntukan wang kerajaan membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, tindakannya dibuat secara terbuka dan rela hati selepas namanya disebut oleh seorang peguam untuk dipanggil SPRM.

“Saya sendiri buat keputusan untuk berjumpa dengan SPRM secara terbuka dan rela hati, dan mereka sangat profesional.

“Apa yang penting adalah saya sudah memberikan keterangan dan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM,” katanya melalui pesanan aplikasi WhatsApp.

Beliau yang sangat berpuas hati dengan layanan SPRM dalam mencari kebenaran yakin bahawa suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan secara adil dan telus.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah portal berita memaklumkan Hishammuddin memberikan keterangan selama hampir tiga jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sabtu lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya hanya memberikan lanjutan reman sehari kepada Hasanah berbanding tujuh hari yang diminta SPRM.

Peguam Shaharuddin Ali dipetik berkata, antara sebab permohonan SPRM ingin melanjutkan reman adalah kerana suruhanjaya berkenaan mahu mengambil keterangan Hishammuddin dan dua kerabat diraja Arab Saudi selain memanggil pulang tiga pegawai MEIO di Abu Dhabi.

Katanya, semasa prosiding mahkamah, Hasanah turut menafikan pembabitan Hishammuddin dan dua kerabat diraja berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:14 PM