ANTARA pekerja warga asing yang dicederakan suspek dalam beberapa kejadian di Bukit Tengah dan Bukit Minyak. Gambar kecil, senjata dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


MARAH kerana adik perempuannya pernah diganggu pekerja warga asing, seorang lelaki yang menyimpan dendam menyamun dan mencederakan sembilan lelaki warga asing menggunakan pisau dalam kejadian di Bukit Tengah dan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, sejak Ogos lalu.

Suspek yang berusia 26 tahun itu bagaimanapun ditahan polis pada 8.40 pagi hari ini di belakang kedai makan Medan Selera Rasa Mutiara, Bukit Minyak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sepasukan polis mengesan suspek yang ketika itu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditahan, suspek dalam keadaan khayal kerana menghisap dadah dan berlaku pergelutan antara dia dengan polis.

“Dalam pergelutan itu, suspek mengalami cedera ringan dan dia mengaku terbabit dalam semua kejadian toreh dan samun lelaki warga asing menggunakan pisau sekitar kawasan Bukit Minyak dan Bukit Tengah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang tidak bekerja itu memberitahu dia melakukan perbuatan terbabit kerana berdendam dengan pekerja warga asing yang pernah mengganggu adik perempuannya ketika bekerja di kilang.

“Suspek mendakwa adik perempuannya diganggu sejak lebih sebulan lalu hingga membuatkan dia terpaksa berhenti kerja di kilang terbabit.

“Disebabkan itu, dia berdendam dan mengambil kesempatan menyamun serta mencederakan semua mangsa yang juga pekerja lelaki warga asing di kilang di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati semua kejadian samun dan toreh itu berlaku antara 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan suspek dikesan melakukan perbuatan itu seorang diri.

Katanya, suspek dikesan menyasarkan mangsa yang berjalan atau menunggang basikal ke tempat kerja sekitar kawasan kilang di Bukit Tengah dan Bukit Minyak.

“Dalam kejadian toreh dan samun yang berlaku sejak 28 Ogos hingga semalam, sembilan lelaki warga asing mengalami pelbagai kecederaan.

“Kejadian pertama membabitkan mangsa warga Myanmar yang menerima lapan jahitan di tangan kiri dan 12 jahitan di perut manakala kejadian kedua membabitkan lelaki Nepal yang luka di belakang badan.

“Dalam kejadian ketiga pula, seorang lelaki Nepal cedera mulut, lutut, ibu jari kaki manakala kejadian keempat membabitkan lelaki Bangladesh yang terpaksa menerima 19 jahitan di pinggang,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki Nepal turut menjadi mangsa kelima hingga terpaksa menerima lapan jahitan di belakang badan.

“Kejadian terbaru semalam membabitkan empat mangsa iaitu tiga lelaki Nepal yang masing-masing cedera tangan dan badan dan seorang lelaki Myanmar yang yang terpaksa menerima 16 jahitan di tangan akibat ditoreh suspek.

“Polis merampas motosikal, beberapa telefon bimbit dan dokumen peribadi milik mangsa yang disamun serta tiga pisau digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 6:19 PM