Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


KEHIDUPAN mewah dua sahabat terbongkar apabila mereka selama ini didapati menyara hidup dengan wang yang diperoleh hasil mengedar dadah.

Perbuatan mereka berjaya dihidu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang melakukan lima serbuan di daerah Timur Laut dan Barat Daya, Isnin lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dadah bernilai RM8.8 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata, dalam serbuan

bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam itu, dua suspek berusia 39 dan 46 tahun itu pada mulanya ditahan di tepi jalan di Gelugor.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 8.2 kilogram (kg) syabu dan 2.93 gram heroin base.

“Susulan daripada itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Jelutong dan merampas 62.45 kg syabu.

“Dalam serbuan ketiga juga di Jelutong, kita merampas 93.2 kg syabu dan turut merampas 734 gram heroin base dalam serbuan keempat di Sungai Dua,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, serbuan terakhir dilakukan di Balik Pulau dan polis merampas 18.6 kg ganja.

“Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas adalah 163.8 kg, ganja (18.6kg) dan heroin base (3.67kg).

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM8.8 juta dan kita turut menyita akaun, wang tunai serta kenderaan bernilai RM2.6 juta,” katanya.

Menurutnya, kejayaan rampasan dadah itui juga adalah hasil kerjasama antara Polis Narkotik China dan Thailand.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Thaiveegan berkata, polis turut menemui 16 kg ketamin, 479 gram heroin, 246 gram syabu bernilai RM865,000 yang ditemui di atas bumbung sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat, Georgetown pada hari yang sama.

“Pemilik rumah berkenaan membuat laporan polis selepas dia menemui kotak mengandungi dadah berkenaan di atas bumbung rumahnya.

“Kita difahamkan, pemilik rumah terbabit ketika itu mahu membaiki bumbung yang rosak akibat hujan dan polis kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan dadah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 7:52 PM
A Thaiveegan (lima dari kiri) bersama Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat (empat dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam