HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI warga emas dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan seksual ke atas anak saudara sepupunya, tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 64 tahun bermula 5 Jun lalu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan amang seksual dengan memegang kemaluan dan mencium pipi remaja perempuan terbabit yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Padang Pasir Mukim Sungai Laka, Changlun jam 10.40 pagi pada 30 September 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Peguam tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kedah (YBGK) dalam pembelaan akhirnya meminta mahkamah mengenakan bon mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah atas faktor kesihatan tertuduh yang mempunyai masalah asma kronik.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail membantah dengan meminta tertuduh dikenakan hukuman penjara dan sebat kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 8:21 PM