MUSTAFAR (kiri) menunjukkan pasport antarabangsa serta dokumen dirampas daripada syarikat membekalkan pekerja asing pada sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Zanariah Abd Mutalib


JABATAN Imigresen menyelamatkan 65 warganegara Bangladesh dipercayai mangsa pemerdagangan orang oleh sebuah syarikat pembekal pekerja asing di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata susulan operasi melalui Ops Mega 3.0, pihaknya turut menahan dua Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan, masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 51 tahun.

“Semua 65 warganegara asing berkenaan ditemui di asrama syarikat itu. Syarikat ini membekalkan pekerja asing di Selangor dan sudah beroperasi sejak 2010.

“Pekerja ini kemungkinan besar dimanipulasi dan tidak diberikan gaji antara tiga hingga lima bulan. Bagaimanapun, ada pula syarikat yang memberikan pinjaman wang kepada mereka antara RM300 hingga RM500 sedangkan mereka sepatutnya dibayar gaji,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan didapati memperoleh pas bagi pekerja mereka dengan mengemukakan maklumat palsu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen manakala maklumat utama menjadi syarat kelulusan iaitu Pas Lawatan Pekerja Sementara (PLKS) dipalsukan.

“Tangkapan terhadap Ahli Lembaga Pengarah syarikat dilakukan kerana kesalahan mengemukakan maklumat palsu untuk mendapatkan suatu pas.

“Malah, 65 pekerja Bangladesh berkenaan tidak mengetahui pas milik mereka palsu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 377 pasport asing termasuk 361 pasport Bangladesh, 15 pasport Indonesia dan satu pasport Nepal, selain 61 dokumen sebagai bukti, antaranya kontrak antara syarikat, lesen perniagaan, baucer bayaran, rekod urusan dengan KDN dan Jabatan Imigresen serta dokumen lain berkaitan kes.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, selepas Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Iizn (PATI) (Program Rehiring) tamat pada 30 Jun lalu, pihaknya sudah menahan 9,157 PATI dan 257 majikan melalui 2,783 operasi Ops Mega 3.0 yang dijalankan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 8:52 PM