Tweet oleh Rais yang mempersoalkan kenyataan bahawa tindakan menggugurkan kes Lim tiada kaitan dengan Peguam Negara.
Veena Babulal

KEPUTUSAN menggugurkan kes rasuah membabit Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tanpa campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas, didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mendakwa, penjelasan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria bahawa Tommy tidak terbabit dalam keputusan menggugurkan kes berkenaan, bertentangan dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika betul seperti kata Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC bahawa Tommy Thomas selaku Peguam Negara tak terbabit dalam pemberhentian kes rasuah Lim Guan Eng dan rakannya, maka Perkara 145 telah dicabul.

“Ini kerana hanya Peguam Negara yang berkuasa menarik balik sesuatu kes jenayah,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Seksyen 3 Perkara 145 memperuntukkan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, serta ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan rasa terkejut dengan keputusan itu, selain menegaskan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Semalam, Mohamad Hanafiah dilaporkan berkata, keputusan tidak meneruskan pendakwaan dibuat tanpa sebarang pembabitan Tommy, sebaliknya beliau diberi tanggungjawab memutuskan representasi dikemukakan kedua-dua tertuduh pada 6 Julai lalu melalui pendekatan ‘fresh eye’ oleh jabatan berkenaan.

Mohamad Hanafiah berkata, AGC tidak meneruskan pendakwaan kes rasuah itu selepas mendapati bukti dikemukakan di mahkamah adalah lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 10:04 PM