ANGGOTA polis memeriksa motosikal Modenas Dinamik yang dilaporkan hilang di Alor Setar tahun lalu dan ditemui semula daripada lelaki yang disyaki tokan dadah dalam serbuan di Kampung Charuk Kudong, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


TOKAN dadah berjaya ditahan polis di Kampung Charuk Kudong, Pendang, ketika dia dalam perjalanan menghantar stok dadah kepada pelanggannya, semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, pada 1.30 petang ketika dia sedang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik yang dilaporkan hilang setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan pada badan suspek menemui beg berwarna hitam mengandungi 21 paket plastik lutsinar berisi heroin seberat 99.19 gram dan tiga paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.48 gram.

"Suspek dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah berkenaan kepada penagih sekitar kawasan berkenaan, namun tidak sempat berbuat demikian apabila ditahan polis.

"Jumlah rampasan keseluruhan dadah berkenaan adalah sebanyak RM3,100 dan kita percaya suspek sudah lama terbabit dalam kegiatan jenayah berkaitan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut dirampas alat penimbang digital, gunting dan alat pemetik api serta 15 paket plastik lutsinar kosong yang disyaki diguna bagi membungkus dadah.

Arriz Sham berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek berasal dari Kulim dan sudah berkahwin itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Alor Setar tahun lalu.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga mendapati dia positif mengambil dadah jenis methapetamin dan morfin," katanya.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 9:00 AM