WONG
HM Digital

Balakong: Malaysia baharu tidak memerlukan kelompok parti yang ekstremis dalam perjuangan bangsa sehingga menjejaskan keharmonian rakyat semua kaum.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki berkata, sebaliknya apa yang diperlukan rakyat hari ini adalah parti yang dapat bekerjasama dengan semua bangsa.

“Bagi saya Malaysia baharu hari ini kita tak perlu satu negara yang sangat-sangat ekstremis dalam parti kerana yang penting kita kerjasama dengan semua bangsa.

“Kita menuju ke arah Malaysia for Malaysian (negara untuk rakyat) dan saya rasa PAS dah jauh tersasar daripada ini. Kalau MCA rasa kerjasama dengan PAS adalah cara berjuang mereka, silakan,” katanya ditemui di pusat operasi PH semalam.

Siew Ki mengulas kenyataan Naib Presiden MCA Datin Chew Mei Fun hari ini yang berkata, kerjasama yang terbentuk antara MCA dan PAS sebagai blok ketiga pembangkang menjurus kepada usaha menguatkan fungsi semak dan imbang yang menjadi slogan PRK DUN Balakong.

Sebelum ini, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata, MCA dan UMNO dilihat masih tidak memahami kehendak rakyat Malaysia baharu diperkenalkan PH apabila memainkan sentimen kaum dalam kempen pilihan raya mereka.

MCA dan UMNO katanya, tidak boleh dalam keadaan di mana UMNO membawa sentimen Melayu dan MCA untuk Cina kerana ia bukanlah mesej yang disampaikan
rakyat sehingga menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengulas lanjut, Siew Ki secara sinis turut mengucapkan tahniah kepada MCA kerana akhirnya mengisytiharkan ‘berkahwin’ secara terbuka dengan PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 10:58 AM