Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang dipercayai dibunuh di rumahnya. FOTO Saddam Yusoff
Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang dipercayai dibunuh di rumahnya. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Azam Shah Yaacob


KETUA Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menafikan pihaknya menahan dua remaja berhubung kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran, Jun lalu.

Ini sekali gus menafikan dakwaan laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan, hari ini yang melaporkan dua remaja terbabit yang juga anak tiri kepada Nazrin ditahan di rumah datuk mereka, 9.30 malam tadi.

"Laporan itu tidak betul. Jumlah tangkapan masih kekal dua orang setakat ini," katanya ringkas ketika dihubungi NSTP melalui Whatsapp, hari ini.

Terdahulu, akhbar terbabit yang memetik kenyataan sumber melaporkan dua remaja lelaki yang masih bersekolah itu ditahan bagi membantu siasatan kematian Nazrin selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang pada lehernya kesan daripada anak panah.

Menurut laporan akhbar itu lagi, kedua-duanya ditahan selepas soal siasat ke atas ibu mereka yang ditahan terlebih dahulu dan mendapati anak mereka itu mempunyai kemahiran dalam sukan memanah.

Kelmarin, polis menahan bekas isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

"Kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund yang maut pada 14 Jun lalu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Ini dibuat berdasarkan laporan bomba dan keputusan bedah siasat yang diperoleh," katanya.

Dalam tragedi 14 Jun lalu itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, 12.20 tengah hari.

Syarikat Cradle Fund dalam kenyataannya sehari selepas kejadian, mengesahkan laporan bedah siasat kematian pegawainya, Nazrin Hassan berpunca daripada letupan telefon pintar.

Mangsa yang jawatan terakhirnya di syarikat itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, sudah berkhidmat di syarikat yang sama sejak 15 tahun lalu.

Cradle Fund, syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Bekas suami isteri CEO direman juga

Isteri CEO ditahan reman

Isteri CEO Cradle Fund bidas JBPM

CEO Cradle Fund dibunuh...?

Bomba ambil telefon bimbit mangsa

'Telefon meletup masa dicas..'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:43 AM