ANGGOTA bomba menangkap beruk yang cuba memasuki sebuah tadika di Manjung Point.
Nor Hidayah Tanzizi

Manjung: Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa dipanggil untuk menangkap beruk yang cuba memasuki sebuah kelas tadika di Manjung Point di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, beruk terbabit dikatakan sudah memanjat tangga untuk memasuki tadika yang terletak di bahagian atas bangunan rumah kedai.

Situasi cemas itu menakutkan kanak-kanak, termasuk guru tadika berkenaan namun tiada sebarang kejadian membabitkan kecederaan dilaporkan berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung Shuib Idris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.52 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, haiwan itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya dan boleh membahayakan keselamatan murid tadika.

“Anggota yang tiba kemudian cuba menangkap beruk berkenaan walaupun haiwan itu bertindak agresif dan cuba melawan.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit menangkap beruk itu sebelum melepaskannya ke hutan di Taman Paya Bakau di Lumut.

“Situasi itu menyebabkan kanak-kanak di tadika berkenaan ketakutan, namun berjaya ditenangkan anggota bomba dan guru,” katanya ketika dihubungi.

Shuib berkata, operasi membabitkan lima anggota termasuk seorang daripada Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) yang diketuai Zaimi Mohd Noh itu tamat pada jam 9.34 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:47 AM