Pegawai dan anggota bomba termasuk pasukan HAZMAT mengambil langkah awal menghalang aliran air di longkang dengan menyedut semula tumpahan bahan kimia. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim

LORI tangki membawa muatan bahan kimia mengalami kebocoran dekat sebuah kilang membuat paku di Bandar Baru Nilai di Nilai, petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Baharin Ayob Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.16 petang.

Menurutnya, seramai 21 pegawai dan anggota termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi bagi menjalankan operasi.

“Kami mendapati lori tangki membawa 40 tan bahan kimia yang digunakan dalam membuat paku mengalami kebocoran di bahagian pin penyambungan.

“Namun, hanya 21 tan bahan kimia itu tumpah dan mengalir ke jalan serta longkang berhampiran.

“Kami bersama pihak syarikat mengambil langkah awal dengan menghalang aliran air di longkang dan mereka turut mengambil langkah menyedut semula tumpahan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharin berkata, pihak syarikat kemudian menghantar lori tangki yang lain untuk pemindahan.

Katanya, keadaan di lokasi kejadian terkawal dan pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut hadir bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:38 PM