ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamat seekor kucing yang tersepit dalam enjin sebuah kereta di Taman Seri Wangi, Kuala Ketil. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamat seekor kucing yang tersepit dalam enjin sebuah kereta di Taman Seri Wangi, Kuala Ketil. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


KUCING yang terperangkap di bahagian enjin kereta di Taman Seri Wangi, Kuala Ketil, Baling, hari ini, bernasib baik apabila anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menyelamatkannya.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, pemilik kenderaan Nor Hanizah, 30-an, baharu hendak menghidupkan enjin sebelum terdengar bunyi kucing pada bahagian hadapan keretanya.

Pegawai APM Baling, Leftenan PA Mohd Faizol Ab Aziz berkata, wanita itu kemudian menghubungi APM selepas mendapati haiwan itu tersepit dan Nor Hanizah gagal mengeluarkannya.

"Anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan kucing yang tersepit di bahagian tali sawat enjin kereta terbabit.

"Berdasarkan keadaan haiwan yang lemah itu, kita percaya ia sudah terperangkap sejak malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, haiwan terbabit adalah kucing liar yang mencari makan sekitar taman berkenaan.

Mohd Faizol berkata, kucing itu kemudian diberi makan sebelum dilepaskan kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 3:18 PM