ANGGOTA polis membawa tiga tertuduh keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


TIGA lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mencuri paip bernilai RM50,000, awal bulan ini.

Tertuduh B Vimalan, 32, bersama SS Mogan, 34, dan adiknya SS Murugan, 26, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri 220 paip HDPE (PN10) milik TP Jaya Sollution di Kawasan Perindustrian Balakong, Selangor.

Kesalahan itu dikesan apabila semua tertuduh ditahan di tepi jalan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh antara jam 4 hingga 8 pagi pada 3 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Ia membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin selepas mengambil kira nilai kerugian.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan menanggung anak, isteri dan keluarga.

Mahkamah memerintah setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 5:57 PM