GAMBAR hiasan
Mohammad Ishak
cnews@nstp.com.my


PELAJAR sekolah pondok maut akibat ditimpa tiang gol dalam kejadian di Kampung Padang Landak, Jertih, hari ini.

Ahmad Muazz Naimullah Mohd Azhar, 14, yang menuntut di Madrasah Moden Maidam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Besut.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa menyertai pertandingan bola sepak lapan sebelah anjuran madrasah berkenaan pada 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata,

sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bergayut pada palang gol.

“Tindakan remaja berkenaan bergayut menyebabkan palang gol berkenaan patah dan menimpanya.

“Mangsa kemudian cuba mengangkat palang itu semula, tetapi gagal,” katanya.

Katanya, tidak lama kemudian mangsa berjaya melepaskan diri dan cuba berjalan, namun dia rebah selepas beberapa langkah.

“Melihatkan kejadian itu, seorang guru cuba menyelamatkannya dan segera membawa mangsa ke Hospital Besut. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Katanya, jenazah mangsa kemudian dibawa pulang oleh keluarganya ke Kampung Sura, Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 6:15 PM