PERSIAPAN dilakukan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Kelana Jaya.
Nur Lela Zulkipli


CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar sedia mengisytiharkan hartanya dalam masa terdekat namun bukan sebelum hari pengundian.

Halimey berkata, setakat ini tiada keperluan baginya mengisytiharkan harta namun bersedia berbuat demikian jika ada permintaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya terima pandangan mereka (UMNO dan PAS), sedia isytihar harta, tetapi saya perlu berbincang dengan kepimpinan terlebih dulu. Tiada masalah bagi saya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas kepemimpinan PAS dan UMNO Selangor menggesa calon PRK DUN Seri Setia mengisytihar harta sebelum hari pengundian hari ini.

Halimey berkata, pemimpin UMNO dan PAS sepatutnya menyuarakan lebih awal bagi meminta calon mengisytiharkan harta.

“Saya percaya mereka sengaja timbulkan isu ini pada saat akhir kempen,” katanya.

Sementara itu, Halimey yakin memenangi kerusi DUN Seri Setia 96 peratus berdasarkan penerimaan pengundi terhadapnya ketika menjadi Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menjalankan banyak penambahbaikan bagi penduduk di Seri Setia.

Ditanya perkara pertama dilakukan jika memenangi PRK DUN Seri Setia hari ini, Halimey berkata, beliau ingin memastikan Pusat Khidmat Seri Setia berfungsi dengan teratur.

“Saya akan pastikan Pusat Khidmat Seri Setia di Kelana Jaya diuruskan dengan baik supaya urusan berkaitan penduduk dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:46 AM