SUASANA di pusat mengundi di SJKC Batu 11 Cheras bagi PRK DUN Balakong. FOTO Rosela Ismail
Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


HARI ini dianggarkan 62,219 pemilih berdaftar akan sekali lagi turun mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

Data itu diperolehi berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga suku pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu.

Jurucakap SPR memaklumkan, terdapat 16 pusat pengundian dibuka bagi PRK Balakong.

Dengan segala persiapan dan kemudahan yang disediakan, SPR menganggarkan antara 70 hingga 80 peratus pengundi akan keluar menunaikan kewajipan mereka.

Ia berdasarkan usaha promosi melalui media elektronik, media cetak dan media sosial dalam menguar-uarkan kepada rakyat untuk turun mengundi pada hari ini.

Difahamkan, usaha itu susulan masih terdapat pemilih yang berdaftar tidak tahu bila hari undi akan berlangsung selain sikap tidak endah kerana sudah pun membuang undi pada 9 Mei lalu.

Bagi pemilih, mereka boleh menunaikan tanggungjawab lebih awal kerana pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi lagi.

Bagi mereka yang bekerja pada hari ini, SPR turut mengingatkan majikan supaya agar membenarkan tempoh yang munasabah untuk pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih.

Menurut SPR, peringatan ini berikutan sebahagian pengundi yang bekerja dalam sektor swasta berkemungkinan bekerja pada hari tersebut memandangkan kebanyakkan kilang-kilang dan syarikat beroperasi pada hari ini.

Sehubungan itu, SPR menegaskan mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi pada hari tersebut boleh diambil tindakan mengikut seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama satu tahun jika sabit kesalahan.

Pagi ini, calon MCA, Tan Chee Teong bersama keluarga akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Batu 11 pada 8 pagi.

Beliau tiba bagi menunaikan tanggungjawabnya, 7.30 pagi, tadi.

Manakala, calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Kie tidak mengundi kerana beliau membuang undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan namun akan turun padang meninjau ke setiap pusat pengundian.

Dijangkakan keputusan undi PRK Balakong bakal diketahui selewat-lewatnya 10 malam, hari ini.

Difahamkan juga, paling awal keputusan undi akan dimuktamadkan kira-kira 9 malam ini.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Pada PRU-14, mendiang menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 8:16 AM