GAMBAR hiasan
Ahmad Suhael Adnan


DUA mahasiswa yang menyertai bantahan di kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E di Putrajaya semalam, ditahan polis kira-kira 2 pagi, hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kedua-dua mahasiswa yang menyertai bantahan pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), ditahan kerana enggan bersurai seperti diarahkan polis.

Bagaimanapun katanya, kedua-duanya sudah dibebaskan kira-kira 7 pagi selepas pegawainya mengadakan perbincangan dengan polis, atas dasar kemanusiaan dan ambil berat terhadap kebajikan mereka.

"Walaupun kumpulan itu mendesak saya mengikut cakap mereka serta-merta tanpa kompromi semalam, saya tetap menghormati hak mereka untuk bersuara.

"Kebebasan bersuara mahasiswa dan autonomi universiti akan terus diperkasakan dan saya akan meneruskan dasar pintu terbuka beretmu dengan pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sekumpulan mahasiswa nekad mengadakan bantahan di dalam kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E yang menempatkan Kementerian Pendidikan, bagi menggesa Maszlee meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM.

Rabu lalu, UIAM mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai Presiden ketujuh universiti itu, sekali gus mencetuskan polemik berikutan kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan, mencetuskan konflik kepentingan.

Pelantikan yang mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Perlembagaan UIAM itu, mendapat bantahan beberapa pihak, antaranya Ketua Sayap Muda Sosialis DAP (DAPSY) Bahagian Petaling Jaya Utara, Lim Yi Wei dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut mengenai protes berkenaan, Maszlee berkata, beliau mengarahkan pegawainya membenarkan kumpulan mahasiswa dan aktivis itu mengadakan bantahan secara aman, serta memberi layanan mesra kepada mereka termasuk menyediakan makanan, minuman dan keperluan asas lain.

Malah, katanya, beliau turut mengarahkan Penasihat Khasnya, Wan Saiful Wan Jan untuk bertemu dan mengaturkan pertemuan antaranya dengan kumpulan berkenaan pada Rabu depan.

"Saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan yang membantah itu dan berkeras mahu bertemu saya secara bersemuka dan mengikut tuntutan mereka agar melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM secara serta merta, kerana saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan mahasiswa itu berkeras untuk duduk di tangga masuk bangunan Kementerian Pendidikan, selagi tidak bertemu dengannya serta-merta.

Maszlee berkata, keadaan betukar kecoh apabila kumpulan mahasiswa dan aktivis itu bertindak membentang tikar di hadapan pagar utama Parcel E yang turut menempatkan beberapa kementerian lain, sekali gus menghalang laluan itu.

"Pegawai saya memujuk mereka bersurai atau kembali menagdakan protes aman itu di kawasan Kementerian Pendidikan kerana pagar utama adalah kawasan awam bagi pelbagai kementerian, tetapi mereka enggan berbuat demikian.

"Polis juga menasihatkan mereka tidak menjalan protes di hadapn pagar utama atas faktor keselamatan, namun selepas enggan bersurai, polis mengambil tindakan meyuraikan protes itu sekitar jam 2 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 11:47 AM