Hazsyah Abdul Rahman

cnews @nstp.com.my

SEBANYAK 35 rumah papan di Kampung Gelam, berhampiran bandar Sandakan, musnah dalam kebakaran, 1.40 pagi, hari ini.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.42 pagi sebelum 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba pada 1.50 pagi dengan menggunakan empat jentera dan dua kenderaan utiliti, didapati kebakaran yang membabitkan rumah struktur kayu itu sudah merebak dan usaha mengawal segera dilakukan.

"Bagaimanapun, api berjaya dikawal pada 2.50 pagi dan operasi berakhir pada 4.32 pagi.

"Pemeriksaan awal mendapati 35 rumah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Anddre berkata, anggota bomba berjaya menyelamatkan bengkel membaiki kapal dan puluhan rumah berdekatan kawasan terbabit.

"Punca kejadian dan nilai anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 9:45 AM
RUMAH papan di Kampung Gelam musnah dalam kebakaran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman